B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
di Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-10
pada 8 Syaaban 1424/4 Oktober 2003
bertempat di Pusat persidangan antarabangsa Berakas.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat meraikan Hari Perkhidmatan Awam kali ke-10 ini.

Hari Perkhidmatan Awam adalah merupakan hari yang istimewa bagi sekalian anggota Perkhidmatan Awam yang disambut pada setiap tahun sebagai menghargai sumbangan anggota-aggota Perkhidmatan Awam itu.

Tema sambutan Hari Perkhidmatan Awam pada tahun ini ialah Kecemerlangan Dalam Perkhidmatan Awam.

Sama ada ia menjadi tema atau tidak, kecemerlangan memanglah menjadi matlamat kita. Ia bukan saja untuk disebut-sebut, malahan benar-benar mesti kita usahakan sehingga dapat.

Kerana jika Perkhidmatan Awam tidak cemerlang, kemajuan pasti tidak dapat dicapai.

Perkhidmatan Awam adalah jentera penggerak. Jika ia lemah dan tidak dinamik, ia boleh menyebabkan negara tertinggal di belakang semua kemajuan.

Kerana itulah, era ICT turut mencetuskan hasrat kerajaan beta untuk komited dalam perlaksanaan e-kerajaan, dalam mana anggota Perkhidmatan Awam perlu menerima cabaran perubahan cara bekerja serta mewujudkan budaya kerja baru yang mementingkan pengetahuan dan kemahiran di dalam bidang teknologi infokomunikasi.

Perlaksanaan sepenuhnya e-kerajaan pada tahun 2005 dalam RKN Ke-8, adalah untuk membawa Perkhidmatan Awam ke tahap kualiti yang lebih tinggi, dengan setiap anggotanya diharapkan memiliki pendekatan kerja yang lebih positif dan progresif.

Perkhidmatan Awam adalah di satu pihak sementara orang ramai yang menerima khidmat pula adalah di satu pihak lagi. Kedua-duanya mestilah berjalan seiring dalam makna sama-sama menunaikan tanggungjawab masing-masing secara timbal balik.

Perkhidmatan Awam bertugas untuk memudah cara dan memenuhi keperluan orang ramai yang berhajatkan perkhidmatan. Sementara orang ramai pula, akan menerima perkhidmatan itu sambil menunaikan tanggungjawab selaku rakyat yang baik, yang kaya dengan semangat cintakan negara.

Di antara tanda-tanda patriotisme itu ialah terus bekerjasama dengan kerajaan di dalam memelihara keamanan dan keelokan negara. Memelihara keelokan itu ialah seperti tidak memugut, tidak membuang sampah merata-rata dan bersedia mematuhi semua peraturan.

Kerajaan tidaklah meminta lebih dari ini. Rakyat yang baik berhak mempunyai kerajaan yang baik.

Adapun kerajaan yang baik itu tertakluk bila mana mekanismenya baik. Semua anggota Perkhidmatan Awam adalah mekanisme kerajaan. Sebab itulah, selaku mekanisme ia perlu telus, gigih, amanah dan berfikiran maju. Mekanisme yang tidak memiliki ciri-ciri ini adalah mekanisme yang lapok yang sudah ketinggalan zaman. Kita tidaklah mahu mekanisme kita ketinggalan zaman.

Beta ingin melihat Perkhidmatan Awam mengubah cara-cara berfikir dan bertindaknya, jika sekiranya cara-cara yang lama ternyata memerlukan perubahan.

Sukat-sukat memerlukan perubahan itu ialah seperti bila mana cara-cara kita yang lama itu dirasakan sebagai kurang disenangi, atau ia sering mendapat kritikan dan seumpamanya. Apabila terdapat faktor-faktor seperti ini, maka itu tandanya cara-cara tersebut memerlukan kajian semula untuk sebarang perubahan.

Perkhidmatan Awam janganlah menjadikan masyarakat sebagai seteru, tetapi adalah rakan yang baik, yang sentiasa mengilhamkan idea-idea baru untuk pembaikan.

Daripada masyarakatlah kita boleh mengesan beberapa kekurangan atau kelemahan kita di dalam pengurusan dan pentadbiran. Misalnya, jika terdapat kelemahan di dalam pengurusan dan pentadbiran di bidang perubatan, maka kelemahan-kelemahan tersebut sudah tentu akan dapat diketahui melalui orang ramai yang mendapatkan rawatan-rawatan perubatan itu : Bagaimanakah cara doktor-doktor merawat, jururawat-jururawat melayani para pesakit dan seumpamanya. Semua ini adalah boleh dikesan melalui orang ramai. Inilah sumbangan orang ramai.

Dalam pada itu, kuasa dan kewibawaan Perkhidmatan Awam tetaplah tidak terjejas, sekalipun orang ramai turut menyumbang. Perkhidmatan Awam tetap berperanan sebagai pemudah cara dan perlaksana dasar yang tidak boleh dicabar.

Prosedur-prosedur dan syarat-syarat yang dikenakan kepada orang ramai termasuklah para usahawan dan pelabur dalam dan luar negeri, mestilah tidak boleh terkeluar dari menggalakkan kepada suasana pertumbuhan serta semangat keusahawanan yang sihat dan tinggi.

Semua ini bukanlah sebagai penghalang, tetapi bagi mengukuh dan melicinkan lagi usaha-usaha kemajuan dan pembangunan negara.

Tidak siapa yang perlu bimbang, kerana Perkhidmatan Awam kita adalah perkhidmatan yang telus, kerana kita telah pun meletakkannya di atas landasan yang bersih dan lurus iaitu landasan agama Islam yang Maha Suci.

Perkara ini, mestilah diletak paling atas oleh setiap anggota Perkhidmatan Awam, dan buktikan, bahawa mereka tidak boleh digugat oleh sebarang kehendak yang ingin memesongkan mereka daripada etika ini.

Insya-Allah, dengan izin Allah serta berkat keikhlasan dan kesediaan kita memuhasabah diri, maka Perkhidmatan Awam kita akan mencapai kecemerlangannya sebagaimana yang kita hasratkan.

Buat akhirnya, beta ingin mengambil kesempatan merakamkan penghargaan dan terima kasih, khasnya kepada mereka yang telah mencurahkan khidmat bakti selaku anggota Perkhidmatan Awam dengan jujur dan ikhlas serta membantu menjadi nadi penggerak dalam jentera pentadbiran kerajaan beta di sepanjang perkhidmatan mereka.

Demikian juga penghargaan yang sama kepada mereka yang telah dan akan bersara dari Perkhidmatan Awam, semoga akan menjalani kehidupan persaraan yang penuh bahagia.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman