B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
sempena Lawatan Perdana Menteri Republik Rakyat Bangladesh, Puan Yang Terutama Begum Khaleda Zia
pada 25 Januari 2004 di Istana Nurul Iman.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta dengan amat berbesar hati mengalu-alukan lawatan Puan Yang Terutama Perdana Menteri ke Negara Brunei Darussalam.

Kerajaan dan rakyat beta amat menghormati detik istimewa lawatan Puan Yang Terutama ke negara kami.

Kami juga ingin menyampaikan salam sejahtera kami kepada semua rakyat Bangladesh dengan mereka ini kami mengagih begitu banyak harapan dan aspirasi bersama bagi masa depan. Kami semua amat gembira bahawa Puan berada bersama-sama kami di mana kami mendapat penghormatan menerima lawatan Puan.

Bagi kami, Puan mewakili pelbagai perkara, dari segi profesional mahupun secara peribadi selaku pemimpin negara dalam pertubuhan antarabangsa ternama yang mempunyai pengaruh yang besar dalam penghidupan rakyat kami sebagai teman dan rakan sekerja selama bertahun-tahun dalam Komanwel dan Pertubuhan Persidangan Islam dan sudah setentunya, selaku pemimpin negara membangun yang berani dan bersemangat di mana kami mendapat keistimewaan mempunyai hubungan yang rapat.

Hanya lebih sedikit daripada tiga puluh tahun, Bangladesh telah mengorak langkah dari perjuangan awal ke arah kemerdekaan kepada penghormatan yang dinikmati selaku sebuah negara Asia Selatan yang memberi sumbangan besar kepada ehwal dunia dan serantau.

Puan Perdana Menteri, tahniah setinggi-tingginya kepada Puan dan rakyat Puan atas segala pencapaian ini.

Dalam masa beberapa bulan sahaja, genaplah dua puluh tahun sejak kami mula menubuhkan perhubungan formal dengan rakyat Puan.

Kami berbangga kerana dapat berkongsi persahabatan dan kerjasama dengan rakyat Puan sepanjang masa ini.

Puan Perdana Menteri, kedua-dua buah rantau ini mempunyai sumber asli yang meluas, rakyat yang dinamik serta budaya yang teguh dan berkekalan.

Cabaran kepada kita semua adalah untuk memanfaatkannya terhadap tugas bagi memenuhi cabaran sosial, politik dan ekonomi yang meluas yang akan ditawarkan dalam abad ke-21.

Ke arah ini, Asia Selatan dan Asia Tenggara jelas mempunyai tujuan yang berkaitan.

Beta berpendapat ini amat ketara dalam kepentingan selaku negara individu dalam peranan pertubuhan serantau kita. Konsep globalisasi semasa mungkin mempunyai bahaya yang sama tetapi setakat ianya menitikberatkan keperluan bagi kita semua untuk bekerja bersama dengan rapat, mengagih pengalaman serta belajar di antara satu sama lain, anggota ASEAN telah merangkuminya.

Beta yakin bahawa tahun-tahun mendatang akan menyaksikan tahap saling bergantung di antara satu sama lain dengan lebih mendalam lagi di seluruh Asia dan dunia pada keseluruhannya.

Justeru itu adalah amat menggembirakan sekali bagi kita menyaksikan bahawa negara-negara Asia Selatan melafazkan perasaan yang serupa dalam pertubuhan serantau mereka sendiri.

Kami berdua, beta dan Puan Perdana Menteri, baharu saja kembali dari Sidang Kemuncak Pertubuhan Serantau kami masing-masing.

Para pemimpin di kedua-dua Sidang Kemuncak ASEAN di Bali hujung tahun lepas dan Sidang Kemuncak SAARC di Islamabad awal bulan ini kelihatannya bersatu padu dalam pendekatan mereka bagi masa hadapan terdekat ini.

Dalam ASEAN, kita semua berkeyakinan bahawa rakyat kita mempunyai bakat, kemahiran inovatif serta imaginasi untuk menentukan dunia pada hari ini serta segala permintaannya.

Justeru itu, perkara penting yang diutarakan oleh para pemimpin adalah persoalan meluas mengenai bagaimana untuk membina persekitaran yang akan membolehkan kesemua kualiti ini berkembang.

Persekitaran seumpama itu memerlukan program ekonomi yang praktikal yang dapat menghubungkan keseluruhan rantau kita bahkan juga jiran-jiran kita.

Ianya memerlukan kecanggihan politik yang hebat dari para pemimpin serta kesabaran, persefahaman dan komitmen dari rakyat mereka.

Paling penting, ianya menghendaki keselamatan dalam erti kata yang sebenarnya, sosial dan budaya juga fizikal dan kebendaan. Ianya bererti kepaduan dengan tujuan yang sama. Kompleksiti, toleransi dan fleksibiliti.

Apa yang tidak diundang, kerana mungkin ada yang berusaha untuk memujuk rakyat kita, adalah pemikiran yang sederhana, tindakan keganasan dan pembahagian masyarakat dan negara.

Atas sebab ini, beta amat tertarik dengan Deklarasi Islamabad yang Puan dan para pemimpin SAARC keluarkan tiga minggu yang lalu.

Piagam Sosial tersebut merupakan program yang mendalam dan meluas bagi pembangunan sosial.

Konvensyen Serantau mengenai Tindakan Menumpaskan Keganasan adalah juga sumbangan yang amat mustahak ke arah komitmen global yang penting.

Mungkin yang paling penting adalah tindakan yang diambil oleh para anggota SAARC mengenai perkara keselamatan sebagai tanda keyakinan yang diperbaharui bahawa pertikaian dan perbalahan yang berjalan sekian lama boleh dikendalikan tanpa kekerasan.

Langkah yang tegas dan praktikal ini dapat mengurangkan ketegangan yang pasti amat dialu-alukan di seluruh dunia.

Perdana Menteri, ucapan tahniah semestinya diberikan kepada SAARC.

Namun demikian terdapat alasan-alasan peribadi yang lebih banyak dan lebih mendalam.

Ini melibatkan begitu banyak nilai yang dikongsi bersama dengan rakyat Bangladesh, juga persahabatan, kerjasama dan muhibah yang terjalin di antara kedua-dua rakyat kita selama hampir dua puluh tahun.

Perdana Menteri, pendek kata ianya memberikan pengertian dan penghidupan bagi semangat saling bergantungan di antara kedua-dua buah negara kita. Beta ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana mengeratkan hubungan kedua-dua buah negara kita.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman