B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Jabatan Perdana Menteri merangkat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa
di Sidang Pleno Terakhir Mesyuarat Serantau Peringkat Menteri Untuk Menentang Keganasan yang berlangsung di Bali
pada 5 Febuari 2004.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

TERIMA kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Pengerusi Bersama.

Oleh kerana saya telah pun menyampaikan kenyataan pada Sidang Pleno pertama kita, saya akan berusaha supaya kenyataan saya ini ringkas agar mereka yang lain juga berpeluang untuk memberikan pandangan mereka.

Perbincangan kita semalam jelas mengulang sekali lagi hakikat bahawa keganasan bukan sesuatu yang tertumpu semata-mata kepada mana-mana negara atau rantau, justeru itu segala usaha kita untuk membanterasnya tidak boleh dijalankan semata-mata atas dasar satu pihak sahaja.

Perkara ini secara khusus ditegaskan dalam ucapan yang memberangsangkan oleh Tuan Yang Terutama Presiden Republik Rumania yang baru sebentar tadi kita mendapat kesempatan mendengarkannya.

Negara Brunei Darussalam komited dalam menentang, mencegah dan menumpaskan segala bentuk tindakan keganasan serta sokongan ke atas keganasan. Namun demikian, kita mengakui bahawa kita mempunyai beberapa pembatasan dalam kemampuan bagi membanteras keganasan. Ini memerlukan kita untuk menumpukan perhatian terhadap perkembangan sumber tenaga kita yang berkaitan.

Dalam hubungan ini kita bersetuju sepenuhnya dengan para penceramah yang telah menegaskan peri pentingnya lebih banyak kerjasama, penyelarasan serta bantuan teknikal serantau.

Kita sudah pun mempunyai institusi di Bangkok dan Kuala Lumpur yang memudahkan latihan dalam pelbagai bidang penguatkuasaan undang-undang dan penentangan keganasan pada umumnya. Namun saya percaya bahawa kerjasama dalam bidang latihan, perkembangan keupayaan dan pengagihan maklumat seharusnya menjadi proses evolusi yang berterusan, di mana institusi-institusi melengkapi kemudahan dan tahap kepakaran di antara satu sama lain.

Dalam konteks ini kita mengalu-alukan serta menghargai kerja yang dijalankan oleh Australia dan Republik Indonesia dalam menubuhkan Pusat Indonesia Bagi Kerjasama Penguatkuasaan Undang-undang (ICLEC). Saya berpuas hati dengan jaminan bahawa meskipun usaha ini dijalankan atas dasar dua hala, segala kemudahannya akan disediakan di agensi-agensi penguatkuasaan di rantau ini pada keseluruhannya.

Adalah jelas bahawa untuk menentang keganasan dengan permainan maut mereka ini, kita seharusnya bersedia untuk menyelaraskan segala usaha dengan lebih efisien lagi lebih daripada para pengganas. Kita seharusnya bersedia untuk bergerak dengan lebih pantas daripada tindakan para pengganas dan kita seharusnya bersedia untuk menolak ideologi tidak sihat yang digunakan oleh para pengganas, juga sumber rekrut dan sokongan mereka.

Bagi memastikan bahawa semua usaha kita bergerak dengan lebih cepat, kita memerlukan Rangka Kerja Undang-undang yang lebih efektif dalam bidang Bantuan Undang-undang Bersama dalam Perkara Jenayah dan Ekstradisi bagi membanteras keganasan.

Secara tradisi, mekanisme bagi Bantuan Undang-undang Bersama dalam Perkara Jenayah dan Ekstradisi berfungsi di bawah rangka kerja berasaskan perjanjian, di mana untuk menangani keganasan antarabangsa mungkin sukar dan terbatas.

Saya yakin bahawa negara-negara hendaklah berupaya memberikan Bantuan Undang-undang Bersama serta memenuhi permintaan ekstradisi atas dasar ad hoc yang seharusnya tidak bergantung kepada rangka kerja perjanjian yang formal di antara negara yang memohon dan negara yang dipohonkan.

Sebagai penutup kata, tema yang biasa dan berulang-ulang yang selalu kita ucapkan dalam mesyuarat ini bahawa keganasan dan segala puncanya adalah dalam bentuk pelbagai sudut dan dimensi. Justeru itu saya dapati agak menyenangkan untuk menyatakan bahawa masyarakat antarabangsa telah menolak sebarang cubaan untuk menghubungkan keganasan dengan mana-mana ugama, bangsa, budaya atau kewarganegaraan tertentu. Perkara ini jelas disuarakan dalam forum serantau termasuk Forum Serantau Asia, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-7 dan Mesyuarat EU-ASEAN Peringkat Menteri Ke-14.

Sekian terima kasih. Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Pehin Isa/Haji Husaimee