B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++ Home | Brunei | His Majesty The Sultan | HRH The Crown Prince | Legislative Council | Government ++
++ Papers | Policy Speeches | Web Links | Financial Planning | Special EDP Program ++

SUARA DARI MIMBAR
Cari rezeki dari sumber yang halal

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sebagai hamba Allah Subhanahu Wataala yang beragama Islam yang benar-benar beriman kepada Allah Subhanahu Wataala dan Rasul-Nya, kita diwajibkan bergiat dan berjuang di dalam kehidupan untuk mencari rezeki yang halal bagi keperluan diri, keluarga dan lainnya yang ada di muka bumi ini menurut bakat masing-masing, agar semua rezeki yang kita perolehi itu adalah melalui hasil yang kita usahakan. Allah Subhanahu Wataala telah berfirman di dalam Al-Quran dalam Surah Al-Jumu'ah ayat 10 yang tafsirannya:

"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi untuk menjalankan urusan-urusan masing-masing dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak dalam segala keadaan, supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)."

Seberapa banyak pun rezeki yang kita cari dan perolehi di dunia ini tidaklah menjadi larangan di dalam Islam asalkan jangan sampai mencuaikan perintah Allah Subhanahu Wataala dan melanggar larangan-larangan Allah Subhanahu Wataala. Rezeki kita itu sebenarnya adalah hak Allah Subhanahu Wataala dan Allah Taala Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sahajalah yang mengurniakan rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya mengikut aturan yang telah ditetapkan. Oleh itu, seseorang yang mencari rezeki itu hendaklah berniat untuk memelihara agamanya untuk mencukupi dirinya supaya tidak meminta-minta kepada orang lain dan untuk mendapatkan rezeki ahli rumah tangganya kemudian jika ada lebih disedekahkan pula kepada orang-orang yang berhajat.

Semua bidang pekerjaan yang kita ceburi di dunia ini sama ada kita berkhidmat dengan kerajaan mahupun swasta atau sebagai peniaga, petani, nelayan, buruh dan sebagainya hendaknya memastikan bahawa rezeki yang kita dapatkan itu betul-betul halal dan tidak menyimpang dari landasan hukum Islam yang sebenarnya, seperti tidak ada penipuan, penindasan, rampasan, khianat, riba, rasuah dan sebagainya.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda dalam sebuah hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang bermaksud:

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu telah berkata ia: Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda Akan ada suatu zaman pada umat manusia yang seseorang itu tidak lagi mempedulikan apa yang diambilnya (rezeki yang diterima olehnya) apakah dari yang halal atau dari yang haram."

Setiap rezeki yang kita perolehi dari jalan yang salah ataupun bercampur antara yang halal dengan yang haram akan memberi kesan yang tidak baik, baik pada diri kita sendiri, keluarga, masyarakat mahupun kita dengan Allah Subhanahu Wataala.

Ini jelas digambarkan dalam hadis Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

"Dari Ibnu Umar Radiallahuanhu katanya: Barang siapa yang membeli pakaian dengan harga sepuluh dirham, satu dirham di antaranya wang yang haram, maka Allah Taala tidak akan menerima salatnya selama pakaian itu masih dipakainya. Kemudian Ibnu Umar memasukkan kedua jarinya ke dalam dua telinganya, lalu berkata: Biarkanlah telinga ini tuli kalau tidak mahu mendengarkan kata-kata dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ini." (Hadis riwayat dari Imam Al-Bukhari).

Dari keterangan hadis yang tersebut tadi dapatlah kita buat kesimpulan bahawa kita wajiblah berhati-hati dalam mencari dan mendapatkan rezeki itu, apalah gunanya kita mempunyai kekayaan di dunia ini tetapi segala ibadat dan amal bakti kita kepada Allah Subhanahu Wataala tidak diredai-Nya, disebabkan kita terlalu rakus di dalam mencari harta hingga mencampur-adukkan antara yang hak dan yang batil. Nauzubillah Minzalik.

Semasa Sayidina Abu Bakar Radiallahuanhu menjadi khalifah pernah terjadi suatu peristiwa terhadap dirinya yang boleh dijadikan iktibar dan panduan kepada kita selaku hamba Allah yang sangat daif ini, iaitu ketika Sayidina Abu Bakar Radiallahuanhu makan suatu makanan, lalu hambanya memberitahu bahawa makanan yang dimakannya itu adalah hasil yang diterimanya daripada pekerjaannya sebagai tukang tilik, sebelum dia masuk Islam. Lantas Sayidina Abu Bakar Radiallahuanhu mengeluarkan makanan tersebut seberapa yang boleh hinggakan memuntahkan semua makanan yang ada di dalam perutnya, lalu ditegur, mengapa Sayidina Abu Bakar Radiallahuanhu sanggup berusaha mengeluarkan makanan tersebut, Sayidina Abu Bakar berkata bahawa dia pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Badan yang tumbuh subur dengan makanan yang haram pasti akan merasai api Neraka. Oleh kerana itu aku memaksa makanan itu keluar, takut kalau-kalau ia menyuburkan badanku. Begitulah kisahnya tentang Sayidina Abu Bakar yang sangat teliti tentang halal haramnya rezeki yang dimakannya.

Oleh yang demikian wahai kaum Muslimin sekalian selaku pengguna dan juga peniaga dan sebagainya, kita hendaklah berhati-hati dalam mencari rezeki ini, jangan sampai kita tercebur kepada perkara yang haram seperti memakan makanan yang haram ataupun menjual barang-barang yang haram dan diragukan kehalalannya.

Hindarkanlah diri kita dari memakan makanan yang haram itu kerana orang yang memakan makanan yang haram itu api Neraka lebih utama baginya sebagaimana sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

"Tidak akan memasuki Syurga, daging yang tumbuh daripada yang haram, api Neraka lebih utama baginya." (Riwayat Al-Imam Ahmad).

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nahl ayat 114 yang tafsirannya:

"Oleh itu, makanlah wahai orang-orang yang beriman dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata."


(c) BRUNEIresources.com, 2005. All Rights Reserved.
Best viewed on Mozilla Firefox.
Website designed by Qasrun Nafis (Raw HTML & NotePad).
Background graphic 'jongsarat' designed by the late Musdi Gapar.