B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


LAPURAN MAJLIS MESYUARAT NEGARA



Tapak skim perumahan tidak mencukupi

BERAKAS, 28 September. - Majlis perbahasan bagi Majlis Mesyuarat Negara (MMN) disambung hari ini dengan pelbagai isu dalam ucapan pengangguhan diperbincangkan di antara ahli-ahli rasmi kerana jawatan, ahli-ahli rasmi dan ahli-ahli yang dilantik yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa di sini.

Majlis dimulakan dengan ucapan Yang Dipertua Dewan, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr.) Haji Kemaludin yang antara lain mengucapkan terima kasih kerana bekerjasama dalam mewujudkan perbahasan majlis yang berjalan dengan baik dan lancar sehingga selesainya beberapa isu. Majlis kemudian diikuti dengan bacaan doa selamat yang dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Awang Judin selaku Jurutulis MMN.

Kemudian Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abdul Aziz menyuarakan beberapa usul melalui ketetapan pindaan perlembagaan, bahawa majlis bersetuju meluluskan satu usul menyembahkan sepenuhnya menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Dalam perbahasan di hari ketiga itu, pengucapan hujah penangguhan pertama disampaikan oleh Ahli yang Dilantik, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Yunos bin Mohd. Noh yang antara lain menyentuh mengenai penyediaan skim perumahan yang disediakan oleh pihak kerajaan bagi penduduk di negara ini adalah baik tetapi ada beberapa kekurangannya. Salah satunya ialah tapak yang diberikan tidak mencukupi.

Dalam pada itu, Yang Berhormat mencadangkan agar pemaju-pemaju perumahan berkenaan melibatkan pihak swasta dalam skim tersebut dengan memenuhi keperluan kepakaran, kewangan dan lain-lain lagi dengan kelayakan yang ada melalui penyertaan bumiputera bagi kepentingan kerajaan, selain penyediaan kawasan yang baru dikenal pasti dan membenarkan para pemaju menjualkannya kepada orang awam.

Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Puasa pula mencadangkan agar peraturan mesyuarat yang lama disalin semula kerana ada beberapa terasul yang tidak bersesuaian pada masa ini. Manakala beberapa isu juga dibincangkan mengenai permasalahan pengangguran yang menjadi masalah universal masa kini tidak terkecuali di Negara Brunei Darussalam yang bersangkut-paut dengan faktor-faktor pemilihan kerja dan tidak memilih kerja.

Yang Berhormat menyuarakan pengurangkan pengangguran pada masa kini belum berkesan sepenuhnya, justeru itu masalah tersebut perlu ditangani secara serius dan penuh komitmen dengan melibatkan semua lapisan masyarakat melalui perasaan tulus ikhlas dan bersungguh-sungguh menghadapinya.

Perkara kedua yang disentuh oleh Yang Berhormat ialah mengenai kemudahan di kampung-kampung luar bandar agar disama ratakan dengan kemudahan yang terdapat di skim-skim perumahan, agar keselesaan di skim perumahan dapat dinikmati bersama setakat yang patut dan berkesesuaian.

Giliran seterusnya diberikan kepada Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Ahai yang antara lain menyuarakan mengenai perkembangan perniagaan di negara ini yang memerlukan pentadbiran yang sempurna iaitu pengeluaran lesen, tender dipercepatkan dan proses pengambilan pekerja juga dipercepatkan tanpa menjejaskan peluang-peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan, selain syarat-syarat tapak tanah perniagaan dikaji semula, manakala cukai-cukai perlu dikurangkan dan dikemaskinikan lagi, demi untuk menggalakkan para penduduk tempatan berniaga dan menarik pelabur-pelabur asing untuk berniaga di negara ini, di samping hak-hak rakyat tempatan perlu dijaga.

Peningkatan penglibatan rakyat dalam penubuhan MMN ini adalah baik sebagai forum perbincangan bagi mengelakkan berlakunya perbalahan dan sebagai perpaduan rakyat adalah bertepatan, jelas Yang Berhormat Awang Haji Idris bin Haji Abas.

Malah dari MMN pelbagai permasalahan dan penghujahan boleh diutarakan dan didengar oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab bagi menanganinya.

Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Awang Othman bin Uking menyuarakan cadangan mengenai bas sekolah yang masih boleh digunakan tanpa had setelah berusia lebih dari 15 tahun dan cadangan mengenai penerima pencen yang telah diberhentikan pada tahun 1993 diberikan seterusnya di samping pemberian TAP yang ada pada masa kini.

Ahli Yang Dilantik, Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja Awang Goh King Chin pula menyuarakan agar lesen rampaian yang ada pada masa ini dipercepatkan prosesnya masalah tersebut dan harus ditangani dengan segera selain menyentuh mengenai pemegang kad pengenalan merah yang perlu ada keselarasannya untuk menjadi penduduk tetap Negara Brunei Darussalam selain membangkitkan mengenai masalah akta perlindungan (insurance) yang harus ada perlindungan yang setimpal dengan yang dipohonkan.

Dalam pada masa yang sama, Yang Dipertua mencelah agar permasalahan mengenai akta perlindungan/insurans itu, diusulkan permohonan bagi perkara berkenaan dengan menulis surat kepada peguam yang dilantik.

Seterusnya, Yang Berhormat Pengiran Dato Paduka Haji Damit bin Pengiran Haji Sunggoh membangkitkan kembali mengenai masalah pengangguran terkini di negara ini yang semakin bertambah dari tahun ke setahun, membabitkan belia lepasan sekolah dan Universiti Brunei Darussalam yang telah mencecah ribuan orang ditambah lagi mereka yang gagal dalam persekolahan.

Jika masalah pengangguran bertambah terus-menerus, Yang Berhormat menjelaskan ditakuti akan menimbulkan gejala-gejala yang tidak diingini. Justeru itu, Yang Berhormat memberikan pandangan agar kerajaan harus tegas menjalankan pengurangan buruh kedai di negara ini, yang mana menurut Yang Berhormat buruh-buruh berkenaan telah merampas hak penduduk tempatan.

Manakala dalam usul yang dibentangkan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Setia Jaya Pengiran Haji Abdul Momin bin Pengiran Othman agar masalah mengenai persekolahan anak-anak yang tidak mampu dibiayai oleh ibu bapa mereka agar diberi pertimbangan untuk dapat duduk di bangku sekolah, kerana jika tidak diberi pelajaran dan tidak diasuh, mereka ini akan menjadi anak terbiar, menjadi orang yang tidak berpelajaran dan tidak berilmu.

Sehubungan itu, Yang Berhormat juga berkata agar pihak kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya dengan memberikan bantuan terhadap ahli keluarga yang berkenaan.

Yang Amat Mulia Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin bin Pengiran Haji Ismail menyuarakan mengenai masalah jalan raya yang didapati longkang-longkang yang tertutup agar mereka yang bertanggungjawab memberi perhatian terhadap masalah ini.

Sementara Yang Amat Mulia Pengiran Setia Negara Pengiran (Dr.) Haji Mohd. Yusuf bin Pengiran Haji Abdul Rahim menggulung perbincangan yang diutarakan oleh ahli-ahli Yang Dilantik agar apa jua teguran yang dilafazkan oleh ahli-ahli berkenaan, diambil perhatian sempurna oleh para pegawai yang tertentu demi mengutamakan kepentingan bersama lebih dari kepentingan sendiri.

Yang Amat Mulia juga menambah agar semua teguran yang disampaikan oleh mereka yang dilantik diambil perhatian, manakala permohonan-permohonan yang ada jangan dilambat-lambatkan dan harus diperjelaskan setiap masalah yang dihadapi.