B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


LAPURAN MAJLIS MESYUARAT NEGARA



Pengeluaran Kad Pengenalan masih dikawal

BERAKAS, 28 September. - Dalam mengulas perbahasan ucapan penangguhan yang telah dikemukakan dalam Dewan persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) oleh Yang Berhormat Ahli-ahli Yang Dilantik, Ahli Rasmi yang berhubung kait dengan isu pengeluaran lesen, kebenaran masuk ataupun permit masuk yang berhubung kait dengan kad pengenalan merah di negara ini, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Haji Awang Hazair berkata, garis-garis pandu pengeluaran kad Pengenalan merah (KPM) bagi mereka yang bermastautin di negara ini sudah pun sedia ada. Ini adalah selaras dengan Bab 10 Akta Imigresen dalam mana kuasa diberikan kepada pengawal Imigresen dalam memberikan pas-pas berkenaan mengikut garis pandu yang telah ditetapkan sejak tahun 1953. Walau bagaimana- pun dalam melaksanakan bidang tugas pengawal Imigresen dan melaksanakan garis pandu itu beliau juga menggunakan bidang kuasanya dari segi kesesuaian seseorang pemohon untuk dikeluarkan KPM. Pengeluaran KPM dikawal dengan sesempurnanya bagi menjaga kepentingan negara.

Dalam hal lesen rampaian, kerajaan memang menyedari mengenai masalah yang dihadapi dan perkara ini telah pun dibincangkan dalam forum perjumpaan setiausaha-setiausaha tetap mengenai pengeluaran lesen-lesen rampaian. Aspek pematuhan kepada peraturan dan keselamatan yang melibatkan kebakaran adalah diambil kira. Begitu juga aspek kesihatan kerana dikhuatiri akan menjejaskan kepentingan-kepentingan awam.

Dalam hal masalah kelambatan dalam penyediaan rumah di bawah Skim Perumahan Negara, kerajaan telah mengambil langkah yang wajar mengenainya. Kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Perumahan Negara (RPN) yang bertujuan untuk meneliti dan mengkaji isu berkenaan. Pihak swasta juga mungkin akan dilibatkan sama dalam memajukan RPN berkenaan.

Mengulas mengenai isu pengangguran YB berkata, jumlah 7000 penganggur yang berdaftar dengan Jabatan Buruh adalah sebenarnya sebahagian daripada jumlah berkenaan. Kerajaan telah pun mengambil langkah-langkah yang bijaksana dan bersesuaian untuk mengembangkan sektor swasta di negara ini dengan menggalakkan pelaburan masuk ke negara ini yang mana akan mewujudkan peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

Ahli Rasmi, YB Pehin Udana Khatib Dato Paduka seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dalam ulasannya berkata, perkara sedemikian hendaknya bukan diatasi semata-mata dengan ungkayah atau upaya kerajaan satu pihak saja dalam dasar-dasar kerajaan. Pada masa ini kerajaan melihat sektor swasta sebagai rakan dalam pembangunan dan semua bidang menjadi terbuka termasuk perkhidmatan, perusahaan, perindustrian dan sebagainya untuk memberikan peluang pekerjaan. Ini menjadi sukat-sukat sejauh mana kita berperanan sama.

YB juga memberi andaian contoh mengenai perkembangan perusahaan pada zaman dulu di mana peluang pekerjaan itu diisi oleh anak-anak tempatan. Senario ini telah berubah pada masa kini di mana peluang-peluang pekerjaan seperti di Garaj Mencucui Kereta yang sepatutnya menyediakan pekerjaan untuk anak tempatan telah dipenuhi oleh pekerja-pekerja luar. Ini adalah kerana perkhidmatan seumpama itu telah memberikan kemudahan kepada orang tempatan dan pengguna. Bagaimanapun tahun demi tahun pekerjaan ini diisi oleh pekerja luar tanpa berkurangan jumlahnya.

Pada hemat YB, perkara pengangguran hendaklah ditangani bersama bukan semata-mata kerajaan. Kerajaan adalah sebagai regulator atau pengatur begitu juga dengan pihak-pihak yang lain. Aliran pemohon-pemohon jawatan yang pada dulunya memerlukan kelulusan yang rendah, kini telah dipohonkan juga oleh mereka yang sedikit berkelulusan. Ini bukanlah kerana terdesak tetapi inilah kenyataan yang sebenarnya. Mereka yang datang dan bekerja ke negara ini adalah diundang oleh kita untuk bekerja dan bukannya sebagai 'perampas' seperti yang dikatakan oleh salah seorang YB Ahli Yang Dilantik.

Mengenai isu adanya ibu bapa yang tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah, perkara ini adalah amat memeranjatkan. Bagaimanapun, sejauh ini NGO sudah pun melaksanakan peranan mereka berusaha membantu anak-anak sekolah seperti menyediakan peralatan sekolah.

Mengenai isu Lembaga Tawaran Negara (LTN), Ahli Rasmi, YB Pengiran Dato Paduka Haji Maidin mengulas, kelambatan tawaran-tawaran berkenaan. ltn mempunyai Tekad Pemedulian Orang Ramai (tpor). LTN akan memberikan jabatan-jabatan kerajaan untuk memproses atau menilai tawaran tidak lebih dari 12 bulan dan selanjutnya dalam tempoh 14 hari pihak berkenaan akan menimbangkan tawaran-tawaran yang telah dihadapkan dan dibagi tempoh selanjutnya 11 hari sebagai peringkat pertimbangan dan peringkat pelulusan. Ahli-ahli ltn juga mengambil masa untuk meneliti tawaran-tawaran berasaskan tatacara yang telah diguna pakai.

Mengulas mengenai isu insurans, yb berkata, perkara ini sedang pun dikemaskinikan oleh pihak yang tertentu kerana ianya draf yang penting yang perlu diteliti dengan sebaik-baiknya bagi kepentingan semua untuk melindungi semua pihak yang tertentu. Menyentuh mengenai peralatan ganti komputer yang masih dikenakan cukai, ianya adalah berikutan tatacara antarabangsa yang menganggap peralatan tersebut boleh dijadikan sebagai peralatan-peralatan lain misalnya radio, VCD player atau CD player.

Berhubung isu pencen, YB berkata dalam usaha menjimatkan perbelanjaan yang besar dalam skim pencen, kerajaan telah memperkenalkan skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) pada tahun 1993. Ianya bertujuan untuk melindungi pekerja-pekerja kerajaan dan swasta.

Mengulas mengenai isu sewaan tanah pula, Ahli Rasmi Kerana Jawatan, YB Dato Seri Paduka Awang Haji Kifrawi berkata, ianya merupakan satu proses yang memakan masa yang perlu dilaksanakan secara bermuafakat. Ia juga melibatkan dasar-dasar negara dan banyak pihak seperti jabatan-jabatan kerajaan dan kementerian-kementerian. Pada kesimpulannya YB berkata, segala tindak-tanduk yang akan dibuat perlulah dilaksanakan dengan berhati-hati sebelum sesuatu itu menjadi undang-undang.

Menjawab mengenai isu 'Standing Order' yang kurang praktis pada masa kini, YB berkata mengenai prosedur di Parlimen boleh dipakai tertakluk kepada pendapat Yang Dipertua dan Jurutulis menggunakan peruntukan Peraturan 38.

Menjelaskan mengenai isu 'Ambulance Chasing' di mana peguam sudah menunggu di rumah sakit jika berlaku sebarang kemalangan, YB berpendapat ia adalah barangkali memberi perkhidmatan kepada orang yang sudah ada peguamnya menunggu tanpa payah mencari lagi peguam lain. Bagaimanapun perkara ini jika masih menimbulkan tidak puas hati, mereka yang berkenaan bolehlah menulis kepada Ketua Hakim atau Peguam Negara untuk menelitinya jika peguam berkelakuan tidak senonoh. Yang Berhormat juga memaklumkan bahawa sudah ada undang-undang untuk mengadakan sebuah badan yang bertanggungjawab mengenai disiplin peguam di negara ini.

Menyentuh mengenai isu persekolahan kanak-kanak, Ahli Rasmi Kerana Jawatan, YB Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain berkata Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) mempunyai peruntukan kumpulan wang zakat yang antara lainnya bertujuan untuk membantu orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam kategori miskin termasuk ibu bapa yang tidak terdaya untuk menghantar anak-anak mereka bersekolah kerana kepapaan bolehlah menghubungi Setiausaha MUIB untuk disiasat dan dipertimbangkan.

Mengulas mengenai isu tawaran, Ahli Yang Dilantik Kerana Jawatan, YB Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abdul Rahman berkata, tawaran bukanlah satu perkara baru dan setiap kerajaan mempunyai prosedur dan tatacara penilaian tawarannya yang tersendiri. Ianya juga bukanlah satu isu yang boleh dijawab oleh satu pihak saja tetapi banyak pihak yang terlibat. Ianya juga perlu dipertimbangkan dengan penuh tanggungjawab dan tidak berat sebelah. Kerajaan juga mempunyai 'machinery' sendiri untuk menilai mengenai keperluan sesuatu tawaran itu. Pada umumnya ia melibatkan tanggungjawab dua hala dan kedua, proses ini hendaklah berjalan serentak dan dilancarkan demi kepentingan rakyat negara ini.

Dalam menggulung hujah perbahasan yang telah dibentangkan oleh Ahli-ahli Yang Dilantik mengenai pengeluaran lesen bas-bas sekolah, Ahli Yang Dilantik Kerana Jawatan, YB Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abdul Aziz berkata, lesen-lesen tersebut dikeluarkan menurut syarat-syarat tertentu antaranya yang terpenting ialah untuk memastikan keselamatan anak-anak sekolah itu sendiri. Pada hemat YB, meskipun tempoh 15 tahun, bas sekolah masih dalam keadaan baik, namun keadaan bas sebenarnnya perlu dinilai sepenuhnya oleh pihak Jabatan Pengangkutan Darat.

Berhubung isu pendidikan pula, YB berkata Negara Brunei Darussalam telah diiktiraf sebagai sebuah negara yang mempunyai kemudahan-kemudahan yang dipanggil pendidikan untuk semua (Education For All). YB mengambil tamsil misalan penyediaan persekolahan percuma bagi rakyat Brunei untuk bersekolah di sekolah-sekolah rendah dan menengah. Mengenai kadar mereka yang boleh membaca di kalangan rakyat dan penduduk di negara ini, YB berkata kadar tersebut telah mencapai 96 peratus sebanding dengan kadar yang dicapai oleh negara-negara maju. Mengenai tahap pendidikan ibu bapa, YB mendapati kualiti pendidikan di kalangan mereka juga meningkat dan lebih 14 peratus dari mereka berkelulusan diploma, ijazah dan seumpamanya.

Menyentuh mengenai graduan yang masih menganggur, YB menjelaskan bahawa jumlah berkenaan hanyalah kecil kerana 80 peratus para graduan telah diambil bekerja sebagai guru. Namun demikian perkara ini akan terus dipantau dan ditangani.

YB meneruskan penggulungan perbahasan berkata, dalam keadaan politik yang stabil melalui kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, negara telah dapat mencapai kemajuan yang baik, ini termasuk kepesatan dalam perkembangan ICT. YB berkata, suasana ini dapat menjana projek-projek yang dapat memberikan pekerjaan yang dengan sendirinya mengurangkan pengangguran.

Sidang perbahasan MMN diakhiri dengan ucapan Yang Dipertua MMN, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Mahkota Pengiran anak (Dr.) Haji Kemaludin yang antara lain menghargai mengenai isu perbincangan yang telah dibentangkan sebagai isu yang bermutu tinggi walaupun di sebalik beberapa kesilapan yang bertentangan dengan perjalanan peraturan mesyuarat akibat sudah lama tidak bersidang.

Sidang pada pagi ini adalah sesi terakhir dalam siri Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Pertama Majlis Mesyuarat Negara setelah diisytiharkan ditunda kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian oleh Yang Amat Mulia Yang Dipertua. Persidangan MMN ini berlangsung pada 25, 27 dan 28 September 2004.