B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


LAPURAN MAJLIS MESYUARAT NEGARA



Suara dan fikiran rakyat perlu didengar

BERAKAS, 27 September. - Temui dan dekati rakyat serta penduduk untuk mengetahui apa jua keperluan dan masalah mereka, baik untuk waktu ini ataupun di masa akan datang kerana suara dan fikiran rakyat dan penduduk di negara ini patut didengar oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN).

Ahli Yang Dilantik, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Puasa bin Orang Kaya Seri Pahlawan Tudin membuat saranan itu ketika berucap menyokong usul yang disuarakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan mengenai keberangkatan dan kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika Pembukaan Rasmi Persidangan MMN di Pusat Persidangan Antarabangsa di sini.

"Tugas-tugas yang berkat itu haruslah dijalankan dengan cara-cara yang difikirkan sesuai oleh Ahli-ahli Yang Berhormat itu sendiri sama ada berkunjung atau berjumpa Ketua-ketua Kampung dan Penghulu-penghulu Mukim dan pada orang-orang yang boleh memberikan pandangan serta pendapat dari kampung-kampung yang ada di negara ini," katanya.

Sementara seorang lagi Ahli Yang Dilantik, Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja Awang Goh King Chin pula antara lain berkata, Ahli-ahli Yang Dilantik mestilah menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi memastikan titah-titah baginda itu akan dijalankan dengan baik dan sempurna.

Ahli Yang Dilantik, Yang Berhormat Awang Haji Idris bin Haji Abas pula menyifatkan kewujudkan kembali MMN sebagai perubahan-perubahan yang akan dapat dan sebaik-baiknya melindungi serta memelihara kepentingan rakyat dan negara.

"Dengan adanya MMN itu dapatlah rakyat dan penduduk di negara ini dengan apa cara yang difikirkan baik bagi melibatkan diri dalam pembangunan negara," jelasnya.

Ahli Yang Dilantik, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Yunus dalam menyokong usul yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan berkata, setiap ahli yang dilantik mempunyai tanggungjawab di dalam MMN di mana tanggungjawab dan amanah itu akan dipersoalkan di akhirat nanti.

Oleh itu, katanya, beliau ingin mengingati dirinya sendiri bagi sama-sama memikul tanggungjawab itu dengan sesungguhnya.

Sementara Ahli Yang Dilantik, Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bin Uking pula menyifatkan titah baginda sewaktu berangkat ke Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan MMN tersebut sebagai garis pandu bagi semua ahli-ahli majlis.

Katanya, apa yang diharapkan, garis pandu itu mudah-mudahan akan dapat dilaksanakan sebagai satu tanggungjawab, di samping menyokong dengan usul yang disuarakan tersebut.

Bagi Ahli Yang Dilantik, Yang Amat Mulia Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin bin Pengiran Haji Ismail berkata, sama seperti yang dikehendaki oleh semua orang iaitu keamanan dan kesejahteraan begitu jugalah yang diinginkan di negara ini , di mana ia akan menjadi sebutan dan ristaan yang baik serta akan menjadi contoh kepada masyarakat negara lain di dunia ini.

Jelas Yang Amat Mulia, kurnia titah itu tidak dapat dinilaikan dengan apa juga sambil berdoa agar apa yang dihasratkan oleh baginda itu akan dapat dikabulkan oleh Allah jua.

Dalam menyokong usul itu, Ahli Yang Dilantik, Yang Amat Mulia Pengiran Setia Jaya Pengiran Haji Abdul Momin mengingatkan supaya peristiwa kacau-bilau yang telah berlaku di negara kita ini yang menyebabkan Perlembagaan 1959 digantung tidak akan berlaku lagi.

"Saya berharap dan berdoa kita sebagai rakyat dan penduduk akan dapat mengekalkan keamanan, kestabilan, kemakmuran, keharmonian dan kesejahteraan rakyat di negara ini yang sama-sama kita cintai ini," jelasnya.

Ahli Yang Dilantik, Yang Berhormat Pengiran Dato Paduka Haji Damit bin Pengiran Sunggoh dalam menyokong usul itu berkata, titah yang dikurniakan tersebut merupakan titah yang melengkapi segala masalah di negara ini.

Katanya, terbentuknya semula MMN seluruh rakyat dan penduduk di negara ini merasa gembira kerana dengan adanya majlis itu dapatlah rakyat dan penduduk menyatakan hasrat mereka yang terpendam sekian lama.

"Kalau dulu mereka tidak mempunyai tempat untuk meluahkan hasrat dan suara mereka, namun sekarang hasrat itu akan tercapai dengan pewujudan semua Majlis Mesyuarat Negara dan setiap Ahli-ahli Yang Dilantik akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti yang diharapkan," tambahnya.