B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


LAPORAN MAJLIS MESYUARAT NEGARA


Titah Kebawah DYMM bernas, mengandungi hikmat, visi luas

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 September. - Persidangan Dewan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) memasuki hari kedua hari ini dengan meluluskan usul menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan dan kurnia titah utama baginda yang bernas di Majlis Pembukaaan Rasmi persidangan yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa di ini.

Dalam persidangan hari ini, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abdul Aziz telah menyuarakan sokongannya terhadap keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang merupakan satu penghormatan dan keutamaan bagi Dewan yang menunjukkan baginda begitu prihatin dalam hal-ehwal kebajikan rakyat negara ini.

Yang Berhormat seterusnya berkata tidak cukup itu baginda telah mengurniakan titah yang bernas mengandungi hikmat dan visi yang luas. Yang Berhormat seterusnya menyentuh beberapa perkara yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia antaranya mengenai tanggungjawab semua ahli majlis untuk memartabatkan MMN sebagai institusi yang dihormati dan sama-sama menangani segala perbincangan, buah fikiran dan tindak-tanduk hendaknya mempunyai kualiti yang tinggi dan sentiasa dipelihara dan dipertingkatkan kualitinya berasaskan sifat-sifat orang Brunei yang kaya dengan sopan santun, tolong-menolong dan tolak ansur.

Yang Berhormat seterusnya berkata, kualiti juga merupakan hubungan ahli-ahli majlis dengan orang ramai iaitu pemedulian terhadap rakyat dan penduduk, senang untuk dijumpai dan menjumpai serta cuba menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapkan kepada mereka.

Yang Berhormat seterusnya berkata, titah baginda juga menyentuh mengenai ciri-ciri bernegara terutamanya dalam kerajaan yang sentiasa mengamalkan sifat muafakat dan tidak mementingkan diri sendiri tetapi mengutamakan kepentingan negara.

Jelas Yang Berhormat, baginda selalu bertitah dengan keadaan dunia sekarang yang penuh dengan liku-liku pengaruh yang mungkin antaranya bertentangan dengan kehidupan dan sangat terdedah kepada beberapa pengaruh universal seperti transperansi, globalisasi dan komunikasi yang cepat.

Menurut Yang Berhormat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia membayangkan rakyat di negara ini akan dapat membentuk atau terus membentuk satu model yang boleh dibanggakan yang mencerminkan budaya orang brunei yang palikat dengan agama serta kukuh dengan adat resam yang tinggi.

Ini merupakan satu visi baginda yang begitu luas dan dengan pandangan yang jauh yang mana jika diungkayahkan bersama akan memberikan kehidupan yang sentiasa aman, makmur dan diredai Allah Subhanahu Wataala yang mana usaha-usaha itu akan menjadi penjamin atau insurans di akhirat nanti, kata Yang Berhormat.

Ahli Yang Dilantik, Yang Amat Mulia Pengiran Setia Negara Pengiran (Dr.) Haji Mohd. Yusuf dalam menyokong usul dari Menteri Pendidikan dengan bersabda semoga cadangan Yang Berhormat itu akan dapat dipraktikkan dan dijadikan sebagai satu amalan yang akan dapat diwarisi dan diperturunkan kepada generasi pada masa akan datang.

Menurut Yang Amat Mulia sungguh benar bahawa titah baginda mengandungi banyak nasihat dan harapan seperti yang diterangkan oleh Yang Berhormat. Yang Amat Mulia seterusnya menyentuh mengenai titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia agar majlis tersebut akan membuat sesuatu perkara yang berkebajikan untuk mendekatkan kerajaan baginda dengan rakyatnya serta membawa kebajikan bersama bukan untuk kepentingan diri sendiri.

Dalam hal itu Yang Amat Mulia juga menyentuh titah baginda bahawa MMN diadakan bukan untuk menggugat kestabilan dan kesejahteraan negara dan bangsa, ia juga bukan untuk mewujudkan dan menimbulkan kacau-bilau di mana sebarang kesilapan mengandungi risiko yang lebih berat yang sangat susah dan mengambil masa yang lama untuk diperbaiki.

Yang Amat Mulia seterusnya mengingatkan mengenai titah baginda agar para ahli memartabatkan institusi tersebut dapat menunjukkan kepada dunia luar bahawa masyarakat Brunei adalah sebuah masyarakat yang sentiasa bermuafakat.

Yang Amat Mulia juga mengingatkan titah baginda bahawa baginda dan kerajaan sudah menunggu-nunggu hasil perundingan MMN yang sedang berlangsung dan menyeru kepada semua ahli majlis sebagaimana yang telah diseru oleh Menteri Pendidikan supaya mereka menjaga kehormatan majlis dan menampilkan diri sebagai orang bermartabat dan bersopan santun yang dapat menjadi contoh kepada dunia luar yang akan datang.

Sementara itu Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dalam menyokong usul berkata, perlunya perubahan dibuat ke atas Perlembagaan tahun 1959 untuk mengukuhkan lagi institusi pemerintahan beraja dan meningkatkan lagi keberkesanan hubungan kerajaan dengan mengadakan para MMN yang merupakan struktur perundingan yang lebih formal.

Pada hemat Yang Berhormat, MMN itu ditubuhkan dengan sepenuhnya dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dengan 45 orang ahli yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan dengan itu kemungkinan ianya merangkumi kepentingan yang lebih menyeluruh semua sektor di dalam dan di luar kerajaan negara.

Menurut Yang Berhormat, bertepatan seperti mana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia menjadi contoh untuk menunjukkan bahawa masyarakat Brunei menghargai ciri-ciri bernegara. Yang Berhormat seterusnya berkata, rakyat hendaklah menerima hakikat bahawa selain Negara Brunei Darussalam mempunyai keunikan dalam cara mengurus negara, tidak semua cara pengurusan negara-negara lain dapat ditiru dan diguna pakai selarah-larahnya.

Yang Berhormat menambah apa yang terbilang baik dan sempurna kepada orang lain dalam cara mereka bernegara tentu sudah teruji baik buruknya kepada mereka sendiri. Apa yang diakui walih dan unik dalam cara Negara Brunei Darussalam bernegara pun adalah teruji buruk baiknya tetapi yang jelas negara ini memakai dan mengembangkan serta menyesuaikannya menurut keperluan sebenar.

Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain ketika menyuarakan sokongannya berkata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah seorang raja yang menunaikan janji.

Menurut pandangan Islam, tambah Yang Berhormat, janji ialah satu perkara yang berat dan mesti ditunaikan. Yang Berhormat seterusnya menjelaskan bahawa baginda memberi contoh yang baik akan sikap amalan menepati janji. Ini adalah pengajaran yang diperlihatkan oleh baginda untuk dicontohi khasnya oleh kerajaan dan pegawai-pegawai kerajaan baginda.

Mengenai penubuhan MMN, Yang Berhormat berkata, seperti mana yang dititahkan ianya menambahkan lagi forum atau wadah tempat menyalurkan pendapat dan pandangan yang telah wujud zaman-berzaman.

Yang Berhormat seterusnya menyebut institusi ketua kampung dan institusi orang-orang bergelar sebagai contoh. Institusi-institusi tersebut, jelas Yang Berhormat, menjadi tempat berunding dan sandaran bagi mewujudkan permuafakatan bak kata pepatah 'bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana bermuafakat'.

Seterusnya Ahli Rasmi, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Paduka Awang Lim Jock Seng dalam menyusul usul menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas keberangkatan dan pengurniaan titah di Majlis Perasmian Persidangan Majlis Mesyuarat Negara mengalu-alukan usul yang dicadangkan adalah sangat bertepatan dan merupakan penghargaan yang tinggi ahli majlis terhadap komitmen baginda.

Yang Berhormat berkata, titah baginda mengandungi banyak petunjuk dan galakan bagi semua ahli majlis melaksanakan tugas yang amat penting dan penuh tanggungjawab itu serta mengandungi banyak nasihat yang perlu diberikan dalam memenuhi hasrat MMN sebagai sebuah institusi dan forum perbincangan yang membina.

Titah baginda itu, jelas Yang Berhormat, melambangkan ketulusan hati dan komitmen baginda dalam memberikan perhatian terhadap kesejahteraan dan kebajikan penduduk negara ini yang merupakan pemerintah yang prihatin.

Menyentuh mengenai hubungan antarabangsa, Yang Berhormat berkata Negara Brunei Darussalam mengamalkan dasar luar berlandaskan prinsip saling hormat-menghormati dan tidak campur tangan terhadap hal-ehwal dalam negeri serta menjalin hubungan diplomatik dengan negara-negara sahabat dengan demikian menjadikan Negara Brunei Darussalam dihormati dan diterima sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Yang Berhormat menambah, titah baginda itu juga melambangkan pengetahuan baginda yang mendalam terhadap sifat jati diri masyarakat Brunei.

Usul yang dibentangkan di sidang hari itu juga disokong oleh Ahli Rasmi, Yang Berhormat Pengiran Dato Paduka Haji Maidin yang antara lain menyentuh mengenai keperluan perubahan dalam konteks Perlembagaan Negara Brunei Darussalam yang dikenal pasti oleh jawatankuasa yang dilantik dalam memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat berkata, perubahan-perubahan yang dimaksudkan baginda bertujuan melindungi kepentingan rakyat dan negara ini sejajar dengan hasrat untuk menyesuaikan kedudukan dan keadaan negara ini sebagai sebuah negara yang merdeka dan penuh berdaulat dalam menghadapi perubahan serta pergolakan dunia yang berpunca dari era alaf baru.

Yang Berhormat menyokong struktur mekanisme melalui pewujudan semula MMN sebagai satu lagi forum penyaluran pendapat dan pandangan membina secara berterusan. Perkara tersebut, kata Yang Berhormat, jelas menunjukkan kesediaan dan kesungguhan rakyat menyumbang bakti dengan melibatkan diri dalam pembangunan negara.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Haji Awang Hazair pula menekankan titah perasmian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam amat bernilai kerana kandungan wawasan dan visi baginda yang amat jelas mengenai pembangunan masa depan negara dan rakyat.

Yang Berhormat berkata, sudah sewajarnya sekalian rakyat dan penduduk memberikan sokongan padu dan taat setia yang tidak berbelah bahagi ke hadapan majlis baginda dan kerajaan. Daripada intipati titah tersebut, tambah Yang Berhormat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyedari akan cabaran yang dihadapi bangsa dan negara terhadap arus globalisasi dan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), di samping pelbagai pengaruh yang dibawanya yang boleh menyirnakan nilai-nilai budaya, tata susila dan kehidupan yang diwarisi dan diamalkan negara ini, di samping globalisasi dan ICT membuka peluang ekonomi dan perdagangan.

Sehubungan itu, kata Yang Berhormat, negara dan rakyat perlu mempunyai iltizam yang kuat dan daya saing yang tinggi. Yang Berhormat menambah sebagai rakyat dan penduduk semua perlu bangkit menjunjung dan menanai saranan baginda, di samping perlunya masyarakat menghindarkan daripada pewujudan yang menimbulkan kacau-bilau dan suasana yang akan menggugat kestabilan dan kesejahteraan yang dinikmati selama ini.

Yang Berhormat selanjutkan berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat dan penduduk negara ini untuk mengangkat dan memartabatkan MMN sebagai platform dan wadah yang sihat untuk menyalurkan pendapat dan pandangan yang menyumbang kepada kesinambungan kemerdekaan dan kedaulatan bangsa dan negara serta menjamin kesejahteraan negara.

Ahli-ahli MMN juga menyokong atas keberangkatan dan kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Sidang ditangguhkan dan akan disambung esok pagi.